Tuesday, July 28, 2009

Cerpen - Suamiku orang Tabligh...

Cerpen ni di tujukan pada mereka yang masih tidak memahami usaha dakwah dan tabligh ni..:)

*********************************

Eja merenung jauh di balik tirai jendela rumahnya. Permandangan di luar rumah sungguh mendamaikan. Dia bersyukur ke hadrat Ilahi kerana menempatkan dirinya tinggal di kawasan kampung..baginya kehidupan di kampung lebih tenang berbanding hiruk pikuk kehidupan di bandar. Tiba-tiba hatinya merasa sebak. Tika ini dia bersendirian di rumah mengenangkan suaminya yg sedang khuruj ke jalan Allah selama 3 hari.

***********************************

“Eja,mak ada berita nak sampaikan kat Eja ni..” beritahu mak suatu hari di waktu kami sedang bersarapan.

“Apa dia mak,lain macam jer bunyinya..”Eja memandang wajah ibunya. Sejak ayahnya meninggal,ibunyalah tempat dia mencurahkan kasih sayang dan bergantung harap. Sayangnya dia pada ibunya tidak bertepi. Dia sanggup bersusah payah demi melihat ibunya gembira.

“Semalam,masa kamu pergi tadika,ada Badrul dan ibubapanya datang jumpa mak. Dia nak merisik kamu. Kalau kamu terima,3 bulan lagi majlis perkahwinan dan nikah akan dijalankan”beritahu mak lagi.

“Hah!..Badrul anak pak Hashim tu ke mak. Yang keje kat kilang hujung kampung kita tuh?”Eja agak terkejut bercampur teruja.

“Ha’ah..dialah.sapa lagi..”

Hati Eja berbunga. Dia sebenarnya memang menaruh hati pada Badrul. Badrul,seorang pemuda lulusan kejuruteraan dari UTM. Bekerja sebagai jurutera di kilang kampung ini,berwatakan sederhana,berkopiah sentiasa di kepala dengan janggut yang sejemput, berpakaian kurta dan berseluar slack, mencerminkan identiti islamiknya. Manakala Eja gadis kampung lulusan STPM,dan bekerja sebagai guru tadika berdekatan rumahnya. Apapun dia seorang yang memelihara diri dan maruah. Menutup aurat yang sempurna seperti mana yang disyariatkan Allah. Sudah tentu dengan niali-nilai Islam yang diterapkan ibu padanya menyebabkan hidupnya terpelihara dari perkara-perkara yang tidak baik.

“Arghh..alangkah gembiranya seandainya aku dapat memiliki Si Badrul.”bisik hati kecil Eja.

“Heh Eja,dengar tak apa mak cakap ni!.”sergah mak selepas melihat aku mengelamun seketika.

“Aah..aa..dengar mak. Ala mak ni,ikut makla. Kalau mak tarima,Ejapun terima juga. Mana yang baik bagi mak,baikla juga bagi Eja.”Eja tersenyum penuh makna memandang wajah ibunya.


****************************

“Eja sayang. Eja gembira tak kita dah jadi suami isteri.” soal Badrul sebaik mereka sah menjadi suami isteri.

“Mestilah gembira. Lelaki idaman yang Eja impikan menjadi kenyataan.”jawab Eja tersipu malu.

“Sebenarnya Eja pun wanita pujaan abang. Bila pertama kali jumpa Eja,hati abang berdegup kencang. Apatah lagi bila lihat Eja pergi tadika perpakaian jubah dan bertudung labuh. Sejuk hati melihatnya.”bagitahu Badrul berterus terang pada isterinya.

“Yeker..tima kasih bang. Eja harap abang sudi bimbing diri Eja ni jadi isteri dan wanita solehah” jawab Eja.

“InsyaAllah sayang. Bukanke dalam al-Quran ada kata wanita yang baik untuk lelaki yang baik,dan wanita yang jahat untuk lelaki yang jahat”

Eja tersenyum memandang wajah suaminya..hatinya kini sudah dimiliki oleh insan yang didambakan selama ini.


*********************

Pulang dari kerja,Eja menyambut Badrul dengan bersalam dan mencium tangan suaminya dengan hati yang gembira. Dia menatap wajah suaminya yang agak kepenatan.

“Banyak kerja ke bang,letih jer nampaknya..”tanya Eja pada suaminya.

“A’ah sayang. Keje kat kilang tu melambak-lambak. Lagi pula,kilang abang bulan depan kena shutdown.lagila sibuk”jelas Badrul semula.

“Oh..gituker..”Eja tersenyum memandang suaminya.

Setelah menukar pakaian, mereka berdua menikmati minuman petang. Erm,air kopi habbatussauda’ dengan kuih karipap.

“Sedap kuih ni,pandai Eja buat yek. Kalau makan sedap-sedap camni..gemukla abang”

“Ala abang ni..biasa je kuih tu..pandai-pandai je abang ni” Eja mencubit lengan suaminye kerana usikan itu.

“ Ni abang nak bagitahu ni,esok abang nak kuar 3 hari tau.”

“Esok ke bang?.kalu tak kuar tak bleh ke..sunyilah Eja abang takde 3 hari ni” Saja Eja bertanya begitu. Dia memang tahu,sejak berkahwin dengan Badrul,setiap bulan memang wajib suaminya keluar dakwah selama 3 hari.

“Yelah sayang..dah lupaker?”

“Ermm..ingatlaa..saja jer tanya,”

Sebenarnya Eja berat hati nak bagi suaminya keluar. Usia perkahwinan mereka baru 4 bln. Seharusnya waktu yang ada dihabiskan bersama-sama kerana mereka berdua masih dalam proses mengenali antara satu dengan lain. Dia sendiri pun masih tak faham dengan usaha dakwah dan tabligh. Hatinya sedikit memberontak bila mengetahui Badrul terlibat dlm usaha ini..Apatah lagi rata-rata kawannya memandang negatif dengan usaha tabligh ni.

Memang dia akui Badrul seorang suami yang taat pada perintahNya. Solah lima waktu berjemaah di masjid adalah wajib baginya. Tiada istilah lelaki solah di rumah. Amalan tahajjud,tilawah al-quran dan zikir merupakan amalan hariannya. Dan yang pasti bila berbicara terserlah ilmu agama yang dimilikinya. Lantas, Eja seharusnya bersyukur dengan Allah atas kurniaan ini. Cuma dia masih cuak dengan kerja dakwah ini. Perluke buat kerja ni di zaman moden dan teknologi seperti sekarang ni. Kenapa tak dakwah guna radio ke, buku ke, tv ke, Internet ke, macam ustaz atau penceramah agama buat sekarang ni. Arghh..Eja terkeliru..bingung..sememangnya dia terlalu baru untuk memahami susur galur perjuangan dakwah tabligh ni.

********************************

Suatu malam Eja dan Badrul berbicara tentang usaha dakwah dan tabligh ni.

“Sayang,apa yang sayang tahu pasal jemaah tabligh ni?” tanya Badrul pada isteri tercinta sambil membelai ubun-ubun isterinya.

“Entahla bang. Yang Eja tahu,orang kata tabligh ni suka tinggal anak bini berbulan-bulan. Tak bagi nafkah zahir batin kat keluarga.” Jawab Eja jujur.

Badrul tergelak mendengar jawapan isterinya. Itulah manusia menilai sesuatu dari luar tanpa mahu memahami isi dalamnya.

“Eja sayang,cuba Eja fikir,orang tabligh je ker yang tinggal anak bini. Habis tu,orang zaman sekarang ni, yang pergi kursus, outstation, pastu ada yang kerja kat pelantar minyak,sebulan di laut sebulan di darat, ada pula yang suami sambung belajar bertahun di luar negara, cam tu tak pe pulak, takde pun orang nak pertikaikan. Cuba Eja renung firman dalam al-quran yang mafhumNya:

"Katakanlah: jika bapa-bapamu,anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri-isterimu, kaum kerabatmu, harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu takut kerugiannya, serta tempat tinggal yang kamu sukai, lebih kamu cintai dari Allah, rasulNya, dan jihad di jalan Allah maka tunggulah olehmu, sehingga Allah mendatangkan seksaanNya,.." (At-taubah:24)

"Erm,betul juga kata abang.entahlah, Eja pun tak tahula bang. Eja sendiri pun baru nak belajar mengenali dakwah tablligh ni.”

“Sebenarnya uasaha dakwah ni kerja nabi, Ejakan tahu macammana nabi, baginda adalah kekasih Allah. Sanggup bersusah payah nak dakwahkan kalimah tauhid ni,kena ejek, kena baling batu sampai berdarah,kena lempar dengan najis,jumpa orang rumah ke rumah,lorong ke lorong,semata-mata nak ajak manusia kembali kepada Allah,supaya dapat hakikat Lailahaillallah, tidak menyembah makhluk tapi menyembah Allah yang Esa. Kita ni umat akhir zaman. Allah jadikan kita sebaik-baik umat,kan dalam al-quran ada kata:

“Kamu sebaik2 umat, yang telah dilahirkan bagi faedah manusia,(kerana) kamu menyuruh berbuat segala perkara yang baik dan melarang daripada perkara yang salah” (Ali-imran:110)…”

Usaha yang kita lakukan sekarang ni hanya 10% sahaja berbanding usaha sahabat sahabiyah dahulu, mereka sanggup korban diri, harta, anak bini, semata-mata nak syahid di jalan Allah, semata-mata nak tengok kalimah Allah tertegak di atas muka bumi ini. Sebab tu mereka ni di dunia lagi Allah taala telah redha pada mereka dan menjanjikan syurga utk mereka. Lagipun sayang, abang tinggal Eja ni bukan kat padang pasir seperti Siti Hajar dan Ismail yang di tinggalkan Ibrahim. Mereka lagilah, kena tinggal tanpa sekarang asbab untuk mereka hidup,takde rumah,makanan dan tempat tinggal,tiada jiran-jiran,tapi sebab redha dengan perintah Allah dan sebab dakwah, Nabi Ibrahim rela melakukannya. Eja ni abang tinggal, duduk dalam rumah yang selesa,cukup peralatan rumahnya,keperluan dah abang sediakan…takkan camtu pun tak sanggup lagi. Habis..Eja nak abang berkepit duduk bawah ketiak Eja 24 jam. Camtuh?”Badrul sengaja mengenakan isterinya sambil mencubit hujung hidung isterinya yang mancung itu.

“Bukanla sampai macamtu bang. Cuma Eja cemburu, orang lain, bila suami balik kerja, ada kat umah sampai malam,pastu bleh main ngan anak-anaknya,sembahyang pun kat rumah berjemaah dengan isteri dan anak-anak. Aada masa bermesra ngan keluarga. Tapi abang,balik kerja rehat sebentar,pastu pukul enam lebih dah nak kena pergi ghastla,mesyuaratla,malam markazla..kalu hari Isnin hingga Khamis memang tak merasa abang ada waktu petang. Balik pun lewat malam.”Eja menerangkan situasi yang sedang dilalui ini.

“Itulah namanya lima amal masjid. Yang kita kena keluar 3hari,40hari,4 bulan tu, untuk kita belajar buat kerja nabi,untuk wujudkan suasana iman dan amal dalam berdakwah,dan bila balik,Medan perjuangan kita adalah dengan menghidupkan lima amal masjid ni. Fikir harian atau mesyuarat harian, pastu khususi orang tertentu kena bagi masa dua jam setengah,pastu buat taklem di rumah dan masjid,kena ziarah kat kampung sendiri dan kampung jiran dan setiap bulan keluar 3 hari dengan membawa jemaah yang baru. Lima amal masjid ni merupakan amalan masjid Nabawi, yang mana sahabat buat untuk dakwahkan Islam. Sebab tu sekarang ni,kita nak belajar bagi masa untuk agama,dunia dan akhirat kena seimbang. Duniakan jambatan untuk akhirat..cuba kita tengok jambatan.mana ada orang bina rumah ke,istana ke kat atas jambatan. Orang nak memancing atas jambatan pun di larang tau.” Terang Badrul panjang lebar sambil melirik mata pada isterinya.

“ Takpelah bang. Eja cuba belajar memahami kerja dakwah dan tabligh ni. Walaupun sukar tapi Eja akan berusaha untuk mengatasinya”

“Camtulah isteri abang yang cantik jelita ni. Nanti abang bawa Eja jumpa ahlia karkun kat kampung ni. Hah,ahlia cikgu Abas tu,dia dah banyak pengalaman keluar masturat tau. Blehla Eja belajar daripada ahlianya.dan lagi Eja bleh berkenalan dengan ahlia karkun bila pergi taklem mingguan masturat nanti. Jangan lupa beri tasykil untuk keluar masturat 3 hari,yerk!” Eja tersenyum memandang suaminya.

“InsyaAllah bang” jawab Eja.

*************************************

Eja tersedar dari lamunannya. Dia mengesat airmatanya yang mengalir di pipi. Sesungguhnya dia hanya manusia biasa yang lemah untuk menghadapi mehnah ini,mungkin dia terlalu berharap Badrul menjadi hak milik mutlaknya. Tetapi dia lupa,bahawa manusia ini adalah pinjaman sebagaimana firman Allah:

“ Sesungguhnya Allah telah membeli pada orang mukmin itu dirinya dan hartanya dengan memberikan syurga untuk mereka” (At-Taubah:111)

Dia harus kuat dan sabar. Dunia ini hanya pinjaman dan akhirat juga yang kekal abadi. Kalau di dunia ini ada pangkat,harta,darjat tapi tidak mengamalkan agama dalam kehidupan,sudah tentu semuanya sia-sia sahaja.

“Yeah,aku harus kuat,kuat untuk memperoleh keredhaan Allah. Biarkan manusia yang tidak faham dan tidak mahu mengerti usaha dakwah dan tabligh ini. Tapi aku akan sentiasa berdoa semoga Allah istiqomah dan kekalkan aku,suami dan generasiku hingga hari akhirat dalam usaha ini, dan semoga Allah bagi kefahaman pada mereka yang memandang serong,membenci atau menghina kerja ini. Ameen” bisik hati Eja.


TAMAT

dikarang Oleh Tokwan

User Name tokwan kau

Member
Date Joined March 26 2009 06:06:57
Last Visit July 29 2009 18:20:14

No comments:

Job

  Gg